Dikongsikan sedikit perkongsian sebelum esoknya saya dan keluarga meluangkan masa pergi membawa berjalan-jalan ke Lembah Klang...
AL-GHAZALI VS AL-JILANI - MANAKAH PILIHAN KALIAN?
Dunia pemikiran dan keintelektualan Islam sering mengangkat Imam Al-Ghazali sebagai tokoh tersohor dalam dunia itu. Dunia sufi dan tasawuf pula mengangkat Sheikh Abdul Qadir al-Jilani sebagai tokoh paling tinggi dan utama. Walaupun sudah mengenali nama Al-Ghazali juga sedikit penulisan beliau terutama daripada kitab Ihya Ulumiddin sejak berumur awal 20an lagi baru kini saya terpanggil untuk meneliti pemikiran beliau. Nama Al-Jilani dan penulisan-penulisan atas namanya (beliau sebenarnya tidak menulis tetapi syarahan-syarahan beliau dicatatkan orang) pula saya cuma kenal selepas berumur lebih 25 tahun. Selepas masuk umur 30 tahun baru menekuni tulisan-tulisan beliau.
Ketika mahu meneliti pemikiran Al-Ghazali baru tersedar bahawa beliau hidup sezaman dengan Al-Jilani. Al-Ghazali hidup 1058-1111 Masihi, Al-Jilani dikatakan hidup. 1077–1166. Al-Ghazali lahir dan wafat di Tous, Iran sekitar 1,700 km ke timur Baghdad tetapi pernah menjadi ‘profesor’ besar di Universiti Nizamiyah di kota besar tersebut 1091-1095. Al-Jilani pula lahir di Jilan, juga dalam wilayah Iran ataupun Parsi sebelum berpindah ke Baghdad pada umur 18 tahun. Cuma saya tak pasti di manakah Jilan yang dimaksudkan. Wikipedia menyebutnya sebagai sebuah kampong lama 40 km di selatan Baghdad. Google Map menunjukkan Jilan sebagai satu tempat lebih 1,300 km ke timur kota itu menghala ke Tous.
Al-Ghazali naik sebagai seorang intelektual besar dalam ilmu fiqah seawal umur 27 tahun lagi sebelum diberikan kedudukan formal intelektual tertinggi di Baghdad pada tahun 1091 iaitu pada usia 33 tahun. Pada tahun 1095 beliau mengalami krisis spiritual lalu meninggalkan segala kedudukan dan kemewahan untuk menjadi seorang faqir sambil mendalami ilmu kesufian. Pada tahun yang sama Al-Jilani yang juga sudah mendalami pelbagai jenis ilmu termasuk fiqah berhijrah ke Baghdad untuk mendalami lagi pengetahuan pada umur 18 tahun. Tetapi menurut ceritanya beliau ditahan daripada masuk ke dalam kota lalu berlegar-legar di luar sebagai seorang majnun selama 7 tahun. Apabila masuk ke Baghdad terus menerima ijazah tinggi kesufian. Ini harus berlaku pada tahun 1102.
Al-Ghazali dikatakan menghabiskan masa di Damsyik dan Baitulmaqdis, ada menziarahi Mekah dan Madinah tahun1096 sebelum kembali ke Tous lalu beruzlah atau menyendiri selama beberapa tahun. Selepas berjaya dipujuk baru beliau kembali ke Baghdad untuk mengajar tahun 1106 tetapi kembali sebelum ke Tous tahun 1110 lalu wafat di sana 1111. Al-Jilani pula menjadi pengembara selama 25 tahun. Tahun 1127 baru beliau dikatakan hidup setempat lalu mula mengajar di Baghdad di mana beliau kemudian dikenali sebagai Sultanul Awliya iaitu raja para wali sehingga wafat dan dimakamkan di sana 1166.
Melihat pada tahun-tahun dan apa yang berlaku dalam kehidupan kedua-dua tokoh besar ini kelihatan mereka tidak pernah atau tidak sempat bertemu antara satu sama lain. Tetapi melihat pada kehidupan kesufian kedua-dua tokoh ada kemungkin pernah berlaku pertemuan sekurang-kurangnya dalam bentuk batin. Al-Ghazali menulis kitab besar beliau Ihya Ulumuddin selepas mendapat kesedaran Tasawuf tinggi. Ini dikatakan berlaku pada penghujung abad ke-12 Masihi (tiada tahun tepat diberikan). Cuma berdasarkan cerita perjalanan hidup beliau besar kemungkinan kitab tersebut dikarang antara tahun 1096 dengan 1106. Al-Jilani pula memang sudah menjadi seorang sufi besar seawal umur 25 tahun lagi iaitu pada tahun 1102. Tetapi bermula tahun 1127 baru ini dipertontonkan kepada umum sehingga dikatakan kakinya memijak tengkuk semua wali yang ada di dunia ini.
Penulisan-penulisan Al-Ghazali selepas menjadi seorang sufi menyentuh perkara kebatinan tetapi cuba diselarikan dengan pemikiran logik ilmu kalam dan mantik. Sebab itu beliau diangkat sebagai tokoh tinggi pemikiran Islam. Penulisan-penulisan Al-Jilani pula lebih berunsur karamah dan kewalian tanpa ada keperluan untuk memuaskan keperluan logik akal. Antara dua pendekatan ini yang manakah pilihan kalian?
No comments:
Post a Comment