Sunday 17 November 2019

Ceramah Maulidur Rasul di Masjid Mukim Pendek

Salam hari Ahad 19 Rabiualawal. Ya Allah dah hampir 3 minggu dah blogspot ini tidak dikemaskinikan. Mungkin ada sebab faktor kesibukan yang memanjang. Tetapi biarkan ada perkongsian pertama untuk bulan November. Ini perkongsian majlis ilmu pertama di masjid.

Khamis malam Jumaat lepas 14 November 2019 saya terus ke masjid kampung saya iaitu Masjid Mukim Pendek, Kota Bharu, Kelantan untuk memperdengarkan Ceramah Maulidur Rasul. Ceramah disampaikan oleh Ustaz Mohd Pediah Che Harun, beliau merupakan Imam Muda di Masjid Mukim Merkang, Pasir Puteh, Kelantan. Antara jemaah yang hadir ke ceramah tersebut ialah ahli kariah Mukim Pendek dan kawasan sekitarnya. Selepas solat Maghrib saya terus berniat beriktikaf di masjid ini sebelum memulakan ceramah tersebut. 

Ceramah telah dimulakan :

Baginda Nabi Muhammad SAW dilahirkan di Kota Mekkah, Tanah Arab (kini Arab Saudi) pada 12 Rabiualawal bersamaan 20 April 571 M. Ibu baginda ialah Aminah binti Wahab, merupakan anak perempuan kepada Wahab bin Abdul Manaf. Manakala bapa baginda ialah Abdullah bin Abdul Mutalib.

Sebelum kelahiran baginda, ayahnya meninggal dunia. Manakala ibunya meninggal dunia semasa baginda berusia enam tahun. Maka baginda menjadi yatim piatu dan dijaga oleh datuknya, Abdul Mutalib. Baginda dipelihara oleh ibu angkat yang bernama Halimatus Sa'adiah.

Sejak kecil dahulu, baginda tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah terlibat dengan aktiviti sosial arab Jahiliyah yang membawa kekufuran.

Ketika baginda remaja, baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak. Baginda menyayangi orang-orang miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha menolong mereka. Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin (yang amanah). Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.

Baginda dilahirkan di tengah-tengah masyarakat Jahiliyah. Baginda amat sedih sehingga kerap kali memasuki ke Gua Hira, merupakan gua bukit-bukau berdekatan dengan Mekkah terletak di puncak Jabal An-Nur untuk memikirkan cara untuk mengatasi gejala yang dihadapi masyarakatnya. Di sinilah baginda sering berfikir dengan mendalam, memohon kepada Allah supaya memusnahkan kedurjanaan yang kian berleluasa.

Pada 21 Ramadan (bersamaan 10 Ogos 610) ketika itu baginda sedang bertafakur di Gua Hira, Malaikat Jibril pula mendatangi Muhammad. Jibril membangkitkannya dan menyampaikan wahyu Allah di telinganya. Baginda juga diminta membaca. Baginda menjawab, "Saya tidak tahu membaca". Jibril mengulangi tiga kali meminta Muhammad untuk membaca tetapi jawapan baginda tetap sama. Akhirnya, Jibril berkata:

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."

Ini adalah wahyu pertama yang diterima oleh Muhammad. Ketika itu baginda berusia 40 tahun setengah. Wahyu itu turun kepada baginda dari semasa ke semasa dalam jangka masa 23 tahun. Siri wahyu ini telah diturunkan menurut panduan yang diberikan Muhammad dan dikumpulkan dalam buku bernama Al Mushaf yang juga dinamakan Al-Quran. Sebahagiannya pula diterjemah oleh Muhammad sendiri melalui percakapannya, tindakan dan persetujuan yang terkenal, dengan nama Sunnah. Al-Quran dan al Sunnah digabungkan bersama untuk menjadi panduan dan cara hidup mereka yang menyerahkan diri kepada Allah.

Apabila Muhammad menyeru manusia ke jalan Allah, tidak ramai yang mendengar seruannya. Kebanyakkan pengikut baginda adalah dari anggota keluarganya dan dari golongan masyarakat bawahan, Antara mereka ialah Khadijah, Ali, Zaid dan Bilal. Apabila baginda memperhebat kegiatan dakwahnya dengan mengumumkan secara terbuka agama Islam yang disebarkannya, dengan itu ramai yang mengikutnya. Tetapi pada masa, baginda menghadapi berbagai cabaran dari kalangan bangsawan dan para pemimpin yang merasakan kedudukan mereka terancam. Mereka bangkit bersama untuk mempertahankan agama datuk nenek mereka.

Semangat penganut Islam meningkat apabila sekumpulan kecil masyarakat yang dihormati di Makkah menganut agama Islam. Antara mereka ialah Abu Bakar, Uthman bin Affan, Zubair bin Al Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ubaidillah bin Harith, Amr bin Nufail dan ramai lagi.

Akibat cabaran dari masyarakat jahiliyah di Mekah, sebahagian orang Islam disiksa, dianiaya, disingkir dan dipulaukan. Baginda terpaksa bersabar dan mencari perlindungan untuk pengikutnya. Baginda meminta Raja Habsyah, untuk membenarkan orang-orang Islam berhijrah ke negaranya. Negus mengalu-alukan ketibaan mereka dan tidak membenarkan mereka diserah kepada penguasa di Makkah.


No comments:

Post a Comment