Sunday 16 February 2020

Prihatin terhadap keluarga - Hormat menghormati

Salam petang Ahad. Ini adalah perkongsian ilmu semasa perhimpunan rasmi sekolah. 

Isnin 10 Februari 2020 ada majlis perhimpunan rasmi sekolah di Dewan Kota Jelasin di SMK Kota. 

Syarahan berkenaan dengan keluarga disampaikan oleh Cikgu Mat Yatim. Keluarga juga turut dimasukkan dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan seperti mana ditunjukkan lebih sebulan lepas. Ketika itu diberi syarahan berkaitan dengan jiran. Rujuk Kasih sayang - Prihatin terhadap jiran. Keluarga bermaksud satu kumpulan manusia yang dihubungkan melalui pertalian darah, perkahwinan atau penjagaan di mana para anggotanya tinggal di suatu tempat di bawah suatu atap dalam keadaan saling bergantungan. 

Fungsi utama sesebuah keluarga ialah untuk menambah bilangan anggota masyarakat sama ada dengan cara biologi atau sosial (iaitu perkahwinan). Oleh itu, seseorang  akan merasai perubahan perasaan berkeluarga misalnya bagi anak anak, keluarga bersifat orientasi, iaitu keluarga bertanggungjawab untuk meletak mereka kepada masyarakat melalui pendidikan dan sebagainya. Manakala bagi ibu bapa, keluarga bersifat prokreasi yang mana matlamat utama ialah menghasilkan, membudayakan dan mensosialkan zuriat. Walau bagaimanapun menghasilkan zuriat bukanlah tujuan utama sesebuah keluarga. Dalam masyarakat yang mempunyai pembahagian dalam pekerjaan, kehendak berkeluarga, dan hasil hubungan antara suami dan isteri, pembentukan isi rumah yang produktif dan ekonomi adalah amat penting. 

Berbagai peranan yang terdapat dalam keluarga adalah sebagai ayah sebagai suami dari isteri dan ayah dari anak-anaknya, berperan sebagai pencari nafkah, pendidik, pelindung dan pemberi rasa aman, sebagai ketua keluarga, sebagai anggota dari kelompok sosialnya serta sebagai anggota dari kelompok sosialnya serta sebagai anggota masyarakat dari lingkungannya. Ibu sebagai isteri dan ibu dari anak-anaknya, ibu mempunyai peran untuk mengurus rumah tangga, sebagai pengasuh dan pendidik anak-anaknya, pelindung dan sebagai salah satu kelompok dari peranan sosialnya serta sebagai anggota masyarakat dari lingkungannya, di samping itu juga ibu dapat berperan sebagai pencari nafkah tambahan dalam keluarganya. Anak-anak juga melaksanakan peranan psikosial sesuai dengan tingkat perkembangannya baik fisik, mental, sosial, dan spiritual. 

Antara fungsi yang dijalankan oleh keluarga ialah pendidikan, sosialisasi, perlindungan, perasaan, agama, ekonomi, rekreatif dan biologis. Fungsi lain juga turut bersesuaian ialah memberikan kasih sayang, perhatian, dan rasa aman di antara keluarga

Nilai yang berkaitan dengan kekeluargaan ialah kita hendaklah mengamalkan nilai hormat dan taat kepada anggota keluarga. 

Definisi yang dimasukkan dalam nilai tersebut ialah memuliakan setiap anggota keluarga dengan berinteraksi dan memberi layanan secara sopan untuk mewujudkan keluarga yang harmoni. 

Cara untuk mewujudkan keluarga yang bahagia ialah berinteraksi dengan baik antara satu sama lain. Cara kedua ialah kita perlu saling menghormati. Ketiga, kita harus peka terhadap keperluan dan perasaan keluarga. Keempat, patuh kepada arahan anggota keluarga. Kelima, kita sepatutnya mengadakan perbincangan keluarga untuk selesaikan konflik. 

Nilai tersebut adalah penting untuk membentuk keluarga harmoni kepada negara agar membentuk generasi yang penyayang. Nilai tersebut penting supaya mewujudkan generasi yang hormat dan taat setia kepada negara. Kepentingan lain juga bagi melahirkan bakal pemimpin yang berkualiti. 

Cara untuk membalas jasa kepada kedua-dua ibu bapa ialah belajar bersungguh-sungguh, menjaga maruah keluarga, mendengar nasihat, memberi hadiah dan menjaga keperluan seperti makan dan minum mereka. 

Kepentingan amalan hormat-menghormati antara anggota keluarga juga dapat mengeratkan hubungan kasih sayang. Kepentingan lain juga dapat mengelakkan konflik atau masalah serta mewujudkan keluarga yang harmoni. Amalan hormat-menghormati perlu diamalkan supaya mewujudkan penyelesaian masalah melalui perbincangan sesama keluarga. 

Sebagai kesimpulannya, pelbagai perkara yang boleh kita lakukan sebagai menghormati semua ahli keluarga kita. Apabila kita saling menghormati maka kita dapat mengelakkan daripada konflik kekeluargaan. 

No comments:

Post a Comment