Merujuk kepada artikel Kompilasi cerita perjalanan Pantai Timur awal 2022 yang dipersembahkan 31 Januari lalu. Alhamdulillah saya sudah selesaikan beberapa pautan tentang perjalanan di Terengganu, kini sudah memasuki genap sebulan. Dalam pada itu, artikel Mimbar tertua di Malaysia berada di Pasir Pekan yang ditulis pada 3 minggu lepas menceritakan tentang keberadaan mimbar paling tua yang diletakkan di Pasir Pekan. Walaupun kes COVID-19 hari ini mencanak naik sehingga berpuluh ribu, hari ini keadaan saya pun demam, selsema dan batuk-batuk tapi saya tak terkena tempias jangkitan COVID-19 terutama varian Omicron sedang melanda dunia. Apa-apapun saya ada sedikit perkongsian tentang perjalanan yang dilakukan pada tahun baharu Cina baru-baru ini.
Take a journey across space and time through the multi-dimensional door that is the soul of my being FB : Mohd Afiq Aslam IG : afiqaslam_271100
Friday, 25 February 2022
Kali ke-3 Pantai Mek Mas @ 'Pantai Al-Arab' sambil mencari hasil udang
Thursday, 3 February 2022
Mimbar tertua di Malaysia berada di Pasir Pekan
Salam 1 Rejab 1443H. Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan. Hanya 60 hari sahaja lagi akan memasuki ke bulan Ramadan. Itulah tarikh Islam yang ditunjukkan mengatakan bahawa sebelum ini Rabu siang 1 Rejab, malam ini masuk 2 Rejab. Adapun saya sudah selesaikan cerita-cerita perjalanan di Pantai Timur 21-22 Januari lalu maka keluarlah artikel Kompilasi cerita perjalanan Pantai Timur awal 2022. Kini saya akan beralih ke cerita mengenai mimbar masjid dikatakan tertua di Malaysia.
Sumber ini dipetik daripada Berita Harian 16 Januari 2022;
TUMPAT: Mimbar Masjid Kampung Laut yang masih utuh dan pernah terselamat daripada banjir besar pada 1926 dan 1966 dianggarkan berusia 400 tahun, sekali gus dipercayai sebagai mimbar tertua di negara ini.
Ketua Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Harleny Abd Arif berkata mimbar Masjid Kampung Laut kini berada Masjid Ar Rahman, Kampung Surau Pasir Pekan, Wakaf Bharu, di sini.
Masjid Kampung Laut pernah terselamat daripada banjir besar pada 1926 serta 1966 sebelum dipindahkan ke Nilam Puri pada tahun 70-an bagi menyelamatkannya dan semasa proses pemindahan itu, mimbar tersebut diletakkan di Masjid Ar Rahman sehingga kini.
"Mimbar ini dianggarkan berusia 400 tahun, biarpun pada mimbar tersebut tiada catatan tarikh namun usianya diwajarkan menerusi silang rujukan berdasarkan teks seni bina serta penulisan ilmiah mengenai Masjid Kampung Laut, yang juga dikatakan masjid tertua di negara ini," katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Ar Rahman baru-baru ini.
Justeru, beliau berkata, perancangan mencalonkan Masjid Kampung Laut di sini sebagai Tapak Warisan Dunia dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), pastinya disambut baik orang ramai khususnya penduduk Kelantan.
Mengulas mengenai perincian cara penentuan usia mimbar itu, Harleny yang berpengalaman selama 12 tahun dalam bidang kajian ragam hias mihrab dan mimbar berkata, biarpun tiada sebarang catatan tarikh pembuatan di mimbar tersebut, usia objek seni tersebut masih boleh ditentukan dalam konteks seni bina.
"Maknanya biarpun tiada tarikh pada mimbar tersebut, kita masih boleh mengenal pasti tarikh pembuatannya kerana aspek lain seperti seni bina masih boleh dijadikan asas bagi menentukan usia mimbar tersebut.
"Apabila tiada tarikh namun mimbar berkenaan masih terkait dengan tarikh pembinaan masjid mengikut sejarah. Kita menentukan usia mimbar tersebut berdasarkan kajian terhadap seni bina Masjid Kampung Laut yang sudah dianggarkan usianya," katanya.
Harleny berkata, mimbar tersebut memiliki ciri-ciri unik seperti diperbuat daripada kayu cengal dengan teknik Tebuk Tembus Bersilat dan Tebuk Timbul Bersilat menjadikan mimbar setinggi dua meter itu kekal kukuh hingga hari ini.
Beliau berkata, ukiran bermotifkan bunga ketumbit dan daun kerak nasi pada mimbar itu mencerminkan kehalusan tangan tukang kayu tempatan pada zaman tersebut.
Harleny berkata, lebih menarik apabila terdapat corak bunga melur pada papan meleh dan panel gunungan bersulur pada bahagian hadapan dan belakang mimbar manakala pada kedua-dua bahagian sisi hadapan tempat duduk khatib pula diukir dengan bentuk sulur paut yang mengundang perhatian.
"Masjid Kampung Laut terletak di laluan di antara Demak di Jawa Tengah dan Kerajaan Champa, masjid ini mempunyai persamaan seni bina dengan Masjid Agung Demak.
"Ini membuktikan betapa lamanya hubungan diplomatik sudah wujud sejak kurun ke-14 dan kaitannya dengan Masjid Kampung Laut, masjid tertua di Tanah Melayu," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Seni bina Dalaman Fakulti Seni bina Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak, Dr Azizul Azli Ahmad turut senada usia mimbar tersebut diwajarkan menerusi seni bina Masjid Kampung Laut.
"Saya berpandangan usia Masjid Kampung Laut lebih lama dari yang kita rekodkan. Pertama, tipologi asal lokasi penempatan masjid berdekatan dengan laut dan sungai merupakan jalan popular perdagangan sebelum abad ke-17 lagi.
"Masjid ini tidak memiliki ukiran yang dominan atau menonjol semua bahagian masjid dikemas kini dengan struktur kayu dan papan tanpa ukiran. Masjid yang kebiasaannya dibangunkan dengan gaya sederhana tanpa ukiran yang menonjol selalunya berada di zaman yang awal peradaban atau selepas sesuatu peristiwa besar berlaku," kata penulis Buku Masjid, Budaya dan Seni bina itu.
Pensyarah Jabatan Seni Bina dan Alam Bina Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mastor Surat berkata, jika dilihat pada permukaan kayu pada kerangka utama masjid tersebut, ia kelihatan tidak rata berikutan disediakan hanya dengan menggunakan kapak, baji, gergaji dan pahat tanpa menggunakan ketam.
Katanya, ukiran pada tetupai yang terletak pada tiang utamanya juga agak kasar buatannya kerana tukangnya hanya menggunakan alat asas dengan ketiadaan kikir kayu dan kertas pasir.
"Ini berkemungkinan di zaman tersebut masyarakatnya baru bangun dari kejatuhan peradaban yang mungkin disebabkan oleh anasir alam seperti banjir, ribut, gempa bumi dan sebagainya yang turut memusnahkan harta benda dan kehidupan.
"Masyarakat yang tinggal masih memiliki kearifan watan tetapi kekurangan peralatan pertukangan. Saya mencadangkan zaman pembinaan Masjid Kampung Laut agak lama," katanya. – BERNAMA