Sunday, 29 October 2023

Ceramah Maulidur Rasul 1445H di Masjid Mukim Pendek

Salam. Ini ada perkongsian dari minggu lepas...




Khamis 12 Oktober 2023 malam Jumaat diadakan satu majlis ilmu di Masjid Mukim Pendek di Kota Bharu iaitu Ceramah Maulidur Rasul. Ceramah ini disampaikan oleh Ustaz Mohd Sofuan Shaberi, Mudir Pondok As-Syakirin, Pulai Chondong. Selepas ceramah disudahi dengan selawat ke atas nabi dan jamuan makan. 

Antara isu berbangkit tentang ceramah tersebut seperti sejarah kehidupan nabi Muhammad SAW. Selawat dan salam ke atas Baginda SAW dan para sahabatnya yang membawa petunjuk lagi berbakti; golongan yang diketahui Allah kesejahteraan fitrah, kebenaran aqidah dan keagungan pengorbanan mereka. Setiap individu Islam, para pendakwah, ulama dan fuqaha hendaklah meneliti dan sentiasa meneliti sirah Baginda SAW supaya mereka memiliki kemuliaan lantaran mengambil teladan daripada Rasulullah SAW agar mereka juga mampu membuka pintu kejayaan dakwah kepada manusia dan mendapat keredhaan Allah serta segala amalnya diterima. Mudah-mudahan mereka mendapat kemuliaan berada bersama Rasulullah SAW di dalam syurga yang kekal abadi. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud : 

"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar." (Surah An-Nisa : 13)


Sirah Nabi SAW mempunyai pelbagai keistimewaan yang menjadikan pengajiannya satu kepuasan roh, akal dan nilai sejarah. Pengajian ini juga menjadi kemestian ulama, pendakwah kepada Allah dan pengislah sosial. Pengajian ini menjamin mereka mampu menyampaikan Syariah kepada orang ramai dengan pendekatan yang menarik. Ini membuatkan orang ramai melihat Syariah umpama Khalifah Muktasim; tempat berlindung ketika berlaku kacau bilau dan huru hara. Pengajian ini juga akan membuka hati dan jiwa manusia untuk menerima pendakwah. Dengan itu, pengislahan yang diseru oleh para pengislah lebih menghampiri kejayaan dan lebih menepati sasaran. 

Sirah Nabi SAW istimewa lantaran ia merupakan sirah yang menceritakan sejarah nabi utusan Allah ataupun sejarah keagungan seorang tokoh islah yang paling sahih. Sirah Rasulullah SAW telah kita terima melalui susur galur ilmiah yang paling tepat dan paling pasti (Kita akan rnelihatnya ketika membincangkan sumber rujukan Sirah). Susur galur ilmiah ini tidak memberi ruang untuk kita meragui kebenaran peristiwa besar dan penting yang berlaku. Ia juga memudahkan kita mengesan peristiwa dan mukjizat yang ditokok tambah oleh akal yang jahil dan gemar menambahkan sifat-sifat mengkagumkan kepada Rasulullah SAW pada zaman-zaman terkemudian melebihi apa yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya. Dia menyangka tokok tambah ini boleh menunjukkan kemuliaan kedudukan, kesucian risalah dan keagungan perjalanan hidup Baginda. 

Kehidupan Rasulullah SAW pada setiap peringkat hidupnya amat jelas; sejak perkahwinan bapa Baginda, Abdullah dengan ibu Baginda, Aminah sehingga Baginda SAW wafat. Kita mengetahui banyak perkara tentang kelahiran, zaman kanak-kanak, zaman remaja, sumber pencarian Baginda sebelum kenabian dan pengembaraan-pengembaraannya ke luar Makkah sehinggalah Allah mengutuskannya sebagai Rasul yang mulia. Kita juga mengetahui secara lebih detil, jelas dan sempurna setiap hal ehwal Baginda selepas perutusan tersebut daripada setahun ke setahun. Ini menjadikan sirah Baginda SAW jelas dan terang seumpama matahari. Sebagaimana kata sesetengah pengkritik Barat: Muhammad SAW satusatunya tokoh yang lahir di bawah sinaran matahari. Fenomena seperti ini tidak mudah didapati di kalangan mana-mana rasul yang terdahulu. Kita tidak tahu sesuatu pun tentang Musa AS ketika zaman kanak-kanak, zaman remaja mahupun sumber pencariannya sebelum kenabian. Kita hanya mengetahui sedikit sahaja berkenaan kehidupan baginda selepas kenabian. Ini tidak memberi gambaran sempurna berkenaan keperibadiannya kepada kita. 

Sirah Rasulullah SAW menceritakan perjalanan hidup seorang manusia yang dimuliakan Allah dengan risalah-Nya. Namun ia tidak mengeluarkan Baginda daripada sifat kemanusiaannya. Kehidupan Baginda tidak disertakan dengan dongeng-dongeng, juga tidak ditokok tambah dengan sifat ketuhanan, sama ada sedikit mahupun banyak. Apabila kita bandingkan hal ini dengan cerita-cerita yang diriwayatkan oleh orang Kristian tentang perjalanan hidup Isa AS, penganut Buddha tentang Gauthama Buddha, penyembah berhala tentang tuhan sembahan mereka, akan jelas kepada kita perbezaan nyata antara Sirah Baginda SAW dan sirah mereka. Lantaran perbezaan ini, ia memberi kesan jangka panjang kepada tingkah Iaku kemanusiaan dan kemasyarakatan pengikut-pengikut mereka. 

Sirah Rasulullah SAW meliputi setiap sudut kemanusiaan yang dimiiiki manusia. Ia menceritakan kepada kita perjalanan hidup Muhammad SAW selaku pemuda yang amanah dan berakhlak mulia, iaitu sebelum Allah memuliakan Baginda dengan risalahNya. Ia turut menceritakan kepada kita perjalanan hidup Rasulullah sebagai pendakwah kepada Allah yang mencari cara paling efektif untuk memastikan dakwahnya diterima. Ia juga meriwayatkan Baginda sebugai pendakwah yang mencurah tenaga dan usaha yang maksimum untuk menyampaikan risalahnya. Begitu juga, ia menceritakan kepada kita perjalanan hidup Baginda sebagai ketua Negara yang mengasas sistem ampuh dan jitu untuk negaranya. Baginda melindungi negaranya itu dengan penuh waspada, ikhlas dan jujur. Ini menjamin negara tersebut untuk berjaya. 

Sunnah Nabi SAW yang sahih terkandung dalam kitab karangan para imam hadis yang diakui kejujuran mereka lagi dipercayai di dunia Islam. Kitab-kitab itu ialah : 

Kitab Sunan Sittah (enam buah kitab hadis): Iaitu kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan an-Nasaie, Sunan at-Tirmizi dan Sunan Ibnu Majah. Begitu juga kitab al-Muwatto' karangan Imam Malik dan Musnad Imam Ahmad. Kitab-kitab ini, terutamanya Sahih Bukhari dan Sahih Muslim berada di tangga teratas dari aspek kesahihan, dipercayai dan pembuktiannya. Sementara kitab-kitab lain mengandungi hadis-hadis sahih dan hasan. Sesetengahnya juga mengandungi hadis daif. 

Sebahagian besar kisah kehidupan Nabi SAW, peristiwa, peperangan dan amalan baginda terkandung dalam kitab-kitab ini. Daripadanya, kita dapat membentuk pemikiran yang menyeluruh berkenaan Sirah Rasul SAW. (sekalipun ia kadang-kadang tidak saling melengkapi). Antara perkara yang meningkatkan kepercayaan dan penerimaan terhadap kitab-kitab ini ialah, hadis-hadisnya telah diriwayatkan dengan sanad yung bersambung hingga kepada para sahabat RA. 

Tidak diragui bahawa orang musyrik telah menyerang Rasul SAW dan dakwah Baginda melalui lidah para penyair mereka. Ini memaksa orang Islam menjawabnya melalui lidah para penyair mereka pula seperti Hasan bin Thabit, Abdullah bin Rawwahah dan lain-lain lagi. Buku-buku sastera dan sirah yang ditulis selepas zaman itu mengandungi banyak syair-syair sebegini. Melalui syair-syair ini, kita dapat membuat kesimpulan tentang fakta-fakta berkaitan suasana persekitaran SAW. hidup dan dakwah Islam mula lahir. 

Riwayat-riwayat yang sabit berkenaan kehidupan Baginda SAW sebelum diutuskan sebagai Rasul menunjukkan kepada kita beberapa hakikat berikut : 

1. Bani Hasyim merupakan keturunan Quraisy yang paling mulia. Manakala Quraisy pula adalah kabilah 'Arab yang paling mulia dan berketurunan bersih. Mereka juga memiliki kedudukan yang paling tinggi di kalangan bangsa Arab. Diriwayatkan daripada al-Abbas RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda : 

"Sesungguhnya Allah mencipta makhluk ini, lalu Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik makhluk dan daripada sebaik-baik kelompok mereka (manusia). Dia juga menjadikan aku daripada sebaik-baik kumpulan di antara dua kumpulan (Arab dan bukan Arab). Kemudian dia meneliti pemilihan kabilah-kabilah secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik kabilah (Quraisy). Kemudian Dia meneliti pemilihan keluarga-keluarga secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik keluarga (Bani Hasyim). Sementara aku adalah sebaik-baik jiwa (sehingga dipilih menjadi rasul dan penutup segala nabi) dan sebaik-baik keluarga di kalangan mereka. (asal-usul keturunan ibu bapa dan nenek moyang Baginda tiada yang lahir daripada perzinaan, bahkan melalui pernikahan yang sah)”. (Riwayat at-Tirmizi). 


2. Baginda membesar sebagai anak yatim. Bapa Baginda, Abdullah telah meninggal dunia ketika ibu Baginda baru mengandungkan Baginda dua bulan. Apabila Baginda berusia 6 tahun, ibu Baginda, Aminah pula meninggal dunia. Oleh itu, semasa kecil Baginda SAW telah merasai pahit maung tidak mendapat belaian kasih sayang ibu bapa. Selepas itu, Baginda telah dipelihara oleh datuk Baginda, Abdul Muttolib. Ketika berumur 8 tahun, datuk Baginda pula meninggal dunia. Dengan itu Baginda selanjutnya dipelihara oleh bapa saudara Baginda, Abu Tolib sehingga Baginda besar dan dewasa. Keyatiman Baginda ini telah disebut oleh al-Quran al-Karim dengan firman Allah Taala : 

Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lain Dia memberikan perlindungan? (Ad-Dhuha: 6) 


3. Rasulullah SAW menghabiskan empat tahun pertama zaman kanak-kanak di padang pasir, di perkampungan Bani Saad. Oleh itu, Baginda membesar dengan tubuh yang kuat, jasmani yang sejahtera, lidah yang fasih, jiwa yang berani dan mampu menunggang kuda dengan baik sekalipun masih kecil usianya. Bakat-bakat Baginda terasah dalam kemurnian dan keheningan padang pasir, dibawah kilauan pancaran matahari dan udara yang bersih. 

4. Keunggulan Baginda telah diketahui sejak kecil lagi. Tampak pada roman mukanya tanda-tanda kecerdikan yang menimbulkan rasa sayang kepada sesiapa yang melihat Baginda. Apabila Rasul SAW datang ke majlis datuknya semasa zaman kanak-kanak, Baginda duduk di atas tilam datuknya. Sedangkan jika datuknya duduk di atas tilam itu, tiada seorangpun anak-anaknya (bapa saudara Rasul) akan duduk di atasnya. Oleh itu, bapa-bapa saudara Baginda cuba menariknya daripada tilam tersebut. 

5. Pada awal remaja, Baginda SAW mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan bayaran upah beberapa qirat (1/24 dinar). Telah sabit daripada Baginda SAW, bahawa Baginda bersabda : 

Semua nabi pernah mengembala kambing. Mereka bertanya: Kamu juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Aku juga begitu. 

Dalam riwayat lain pun, baginda menyebut : 

Semua Nabi yang diutuskan Allah pernah mengembala kambing. Maka sahabat Baginda bertanya kepadanya: Kamu juga wahai Rasulullah? Lantas Baginda tnenjawab: Aku juga begitu. Aku pernah mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan upah beberapa qirat. 


Kemudian, apabila umur Baginda mencapai 25 tahun, Baginda berniaga untuk Khadijah binti Khuwailid. Baginda berniaga bermodalkan harta Khadijah dengan mendapat bayaran upah. 

6. Baginda SAW tidak menyertai rakan-rakan sebayanya di kalangan remaja Makkah dalam bersukaria dan berfoya-foya. Allah telah memelihara Baginda daripada terlibat dalam gejala tersebut. Kitab-kitab sirah menceritakan dengan panjang lebar, semasa usia remajanya, Baginda terdengar suara nyanyian daripada salah sebuah rumah di Makkah sempena majlis perkahwinan. 

7. Sejak Baginda mula mumayyiz, Baginda dikenali mempunyai akal yang matang dan pandangan yang bernas. Peristiwa perletakan Hajarul Aswad ke tempatnya di Kaabah menjadi bukti yang jelas terhadap perkara ini. Kaabah telah dilanda banjir menyebabkan dindingnya retak. Oleh itu, penduduk Makkah membuat keputusan meruntuhkannya dan memperbaharui binaannya. Mereka melaksanakan keputusan itu. Namun, apabila pembinaan sampai ke peringkat meletak Hajarul Aswad ke tempat asalnya, mereka bertengkar tentang siapakah yang akan mendapat penghormatan untuk meletak Hajarul Aswad ke tempatnya. Setiap kabilah ingin mendapat penghormatan itu. Pertelingkahan bertambah hebat sehingga mereka saling mengancam untuk berperang. Kemudiannya mereka bersetuju untuk merujuk kepada orang pertama yang memasuki pintu masuk Bani Syaibah (salah satu pintu Masjidil Haram pent) sebagai hakim. 

8. Baginda bermusafir keluar dari Makkah sebanyak dua kali. Pertama, bersama bapa saudara Baginda, Abu Tolib ketika berusia 12 tahun. Kedua, ketika berusia 25 tahun, sebagai peniaga kepada harta dagangan Khadijah. Kedua-dua destinasi perjalanan ini ialah kota Busra di Syam. Dalam kedua-dua perjalanan ini, Baginda mendengar perbualan para peniaga, melihat kesan-kesan negara yang dilaluinya, juga adat-adat yang diamalkan oleh penduduknya. 

9. Beberapa tahun sebelum diutuskan sebagai Nabi, Allah telah menimbulkan rasa cinta kepada Baginda SAW, untuk pergi ke Gua Hira (sebuah bukit yang berdekatan dengan Makkah dan terletak di barat laut Makkah). Baginda berkhalwah di dalamnya selama sebulan (iaitu dilakukan dalam bulan Ramadhan) kerana memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah dan kehebatan kekuasaan-Nya. Perkara ini berterusan sehingga datang wahyu dan turunnya al-Quran al-Karim kepada Baginda. 





No comments:

Post a Comment