Salam. Ini adalah perkongsian daripada tiga minggu lalu.
KOTA BHARU – Seorang abang merayu orang ramai yang mempunyai rakaman papan pemuka atau kamera litar tertutup (CCTV) membantu mengesan kenderaan yang dipercayai melanggar adiknya sehingga maut dalam satu kemalangan di Kampung Teluk Panji, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Muhammad Naqib Afnan Roslee, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sri Iman, hanya kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
Menurut abangnya, Muhammad Nabil Aiman, 28, adiknya yang bekerja sebagai pengasuh warga emas keluar membeli makanan sebelum kemalangan berlaku.
“Saya dimaklumkan oleh orang awam ada dua kenderaan terbabit tetapi tak tahu mana-mana yang sahih.
“Satu kereta berhenti, manakala sebuah lagi dikatakan terus berlalu pergi dan belum dapat dikenal pasti,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia menerima panggilan daripada ibunya yang memaklumkan kejadian tersebut ketika berada di rumah mentua di Telipot, lalu segera bergegas ke lokasi.
“Masa saya sampai, adik sudah meninggal dunia dan jenazah ditutup dengan kain,” katanya.
Muhammad Nabil memohon jasa baik orang ramai yang mempunyai rakaman papan pemuka atau CCTV di sekitar lokasi kejadian agar tampil membantu siasatan.
“Kami reda dengan pemergiannya. Cuma kami nak tahu keadaan sebenar, sekarang samar-samar.
“Saya mohon jika ada siapa-siapa yang ada rakaman, tolong hubungi saya,” katanya.
Jenazah akan dibedah siasat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung Pendek di sini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman diminta menghubungi Muhammad Nabil di talian 014-2915989.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud yang dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan berkenaan.
No comments:
Post a Comment