Tuesday, 17 March 2020

Panduan berbelanja secara berhemat

Teruskan gerak perkongsian daripada Menghormati hak golongan OKU...

Isnin 2 Mac 2020 diadakan perhimpunan rasmi SEMENKOTA (Sekolah Menengah Kebangsaan Kota). Semua pelajar dan guru dikehendaki bergerak ke Dewan Kota Jelasin untuk perhimpunan rasmi sekolah tersebut pada jam 7.45 pagi. Disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku, Selamat Sultan (lagu rasmi negeri Kelantan) dan lagu Usaha Jaya Mulia (lagu rasmi SEMENKOTA).

Antara kupasan daripada perhimpunan rasmi sekolah ialah berkaitan dengan sivik. Berbelanja secara berhemat merupakan tumpuan kepada nilai bertanggungjawab.

Cikgu Abdul Munif bin Razali juga merupakan guru kesayangan semasa zaman persekolahan pula menyampaikan sisipan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Sisipan yang diberi ialah panduan berbelanja secara berhemat.

Kemampanan ekonomi isi rumah dapat dicapai seandainya gaya hidup berhemah dipupuk oleh setiap individu. Sikap berbelanja secara berhemah adalah berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan diri sendiri, keluarga dan tidak didasari oleh kemampuan dan keinginan semata-mata. Dengan kata lain memupuk gaya hidup berhemah adalah berkaitan dengan sifat berjimat cermat dalam berbelanja dan tidak membazir.

Dari sudut agama, Islam juga melarang dan mencegah umatnya daripada membazir memandangkan pembaziran adalah perbuatan keji dan tidak mendatangkan sebarang faedah kepada individu mahu pun masyarakat selain melebarkan lagi jurang di antara golongan kaya dan miskin.

Amalan berbelanja secara berlebihan sehingga berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya kerana akan menimbulkan banyak keburukan pada diri, keluarga dan masyarakat. Justeru itu adalah amat penting kita menguruskan sebarang perbelanjaan secara bijak untuk menjamin kehidupan yang baik atau dalam kata lain bebas daripada cengkaman hutang.

Para pengguna perlu menyediakan satu senarai barangan yang ingin dibeli dan mematuhi senarai tersebut sebelum sebarang pembelian dibuat. Para pengguna dinasihatkan agar tidak terlalu mudah terpengaruh dengan sebarang gimik iklan dan janji-janji manis penjual. Seperkara yang penting, para pengguna perlu menyedari kebolehpercayaan sesuatu iklan dan menilai sama ada tahap keperluan barangan tersebut dan bukannya dipengaruhi iklan yang menarik. Sebarang pembelian mengikut nafsu perlu dielakkan kerana ini boleh menyebabkan para penguna berbelanja lebih.

Antara panduan ringkas seperti :


  1. Berdisplin merancang perbelanjaan
  2. Cari alternatif untuk meminimumkan perbelanjaan
  3. Buat perbandingan harga
  4. Berbelanja mengikut keutamaan
  5. Menaiki pengangkutan awam atau berkongsi kereta ke tempat kerja
  6. Berhibur bersama keluarga secara sederhana


Apabila ingin membuat pinjaman, anda adalah dinasihatkan supaya meminjam mengikut kemampuan pendapatan atau gaji untuk pembayaran semula. Pastikan hutang tetap seperti pinjaman rumah, kenderaan dan sebagainya tidak melebihi 30% daripada jumlah gaji bersih anda. Lebih baik memilih untuk membayar melalui skim bayaran mudah yang disediakan oleh pengeluar kad kredit anda sekiranya anda membuat bayaran untuk sesuatu barangan yang mahal. Skim ini boleh membantu anda untuk membahagikan kos belian dalam satu jangka masa tanpa dikenakan sebarang kos kewangan jika pembayaran mengikut jadual. Menyediakan satu pelan belanjawan dan berbelanja mengikut pelan tersebut adalah satu amalan dan langkah bijak. Kaedah ini dapat mengelakkan anda berbelanja secara berlebihan.

Sebagai kesimpulannya, tabiat berbelanja melebihi kemampuan atau berbelanja melebihi pendapatan boleh menjadi salah satu punca ramai di antara kita terjerat dalam masalah hutang atau beban kewangan yang serius. Di sinilah sebenarnya betapa pentingnya prinsip pengurusan kewangan diamalkan. Tabiat boros dalam perbelanjaan harian perlu diubah sama ada dalam diri sendiri dan juga kepada seluruh anggota masyarakat untuk terus berdisplin ketika berbelanja. Kita perlu memantau dan mengawal perbelanjaan kita sekiranya setiap akhir bulan kita gagal menyimpan wang untuk simpanan. Ke manakah wang tersebut dibelanjakan? Adakah sewaktu berbelanja kita lebih cenderung berbelanja ke arah keperluan atau kehendak kita semata-mata? Seandainya tabiat ini berlaku dan berterusan ia perlu dihentikan dan dielakkan. Beringatlah sebelum terjebak dalam hutang. Berbelanjalah mengikut kemampuan bukan kemahuan. 


No comments:

Post a Comment

Ke KLIA untuk meniti perjalanan ke umrah

Salam. Merujuk pada artikel  Santaian semperna cuti hari keputeraan sultan - Ambil angin di utara Kota Bharu  yang dipersembahkan pada 30 Ok...