Thursday 19 September 2019

7 masjid tercantik di negeri Kelantan

Salam malam Jumaat. Dikongsikan satu artikel berkenaan dengan 7 buah masjid yang tercantik di Kelantan. Antaranya

1. Masjid Muhammadi

Gelaran Serambi Mekah ini turut diberikan kepada sebuah masjid yang sangat dikenali di Kelantan iaitu Masjid Muhammadi yang terletak di Jalan Masjid, Kota Bahru, Kelantan. Masjid ini mempunyai peranan besar dalam penyebaran ilmu Islam dalam kalangan masyarakat Islam tempatan mahupun yang datang dari luar Kelantan.

Beberapa tokoh ilmuwan Islam tempatan seperti Tok Kenali turut menggunakan masjid ini sebagai medium penyampaian ilmu kepada pelajar dan masyarakat sekeliling amnya.

Daripada rekod gambar lama, sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Besar dirakamkan pada tahun 1905. Dalam gambar yang berusia lebih 100 tahun itu kelihatan sebuah bangunan yang diperbuat daripada kayu keras beratap genting senggora dan mempunyai serambi di hadapannya. Bangunan Masjid Besar ini turut mempunyai pagar dan pintu pagar yang juga diperbuat daripada kayu.

Masjid Muhammadi digantikan dengan seni bina konkrit pada 1933, sekali gus dinamakan Masjid Muhammadi bersempena dengan nama Sultan Muhammad IV.

Masjid ini menggunakan gaya seni bina yang hampir sama dengan beberapa gaya seni bina kolonial di Semenanjung seperti Masjid Sultan Abu Bakar, Istana Negara Lama dan Bangunan Syarikat Keretapi Tanah Melayu terutama di bahagian menara.

Masjid setingkat ini mementingkan keindahan dan kesederhanaan baik dari segi gaya binaan mahupun hiasan.

Deretan tiang-tiang batu gaya corinthian di kiri dan kanan dewan sembahyang dengan sentuhan corak hiasan yang minimum kelihatan sangat menenangkan. Sentuhan hiasan bahagian luar dan dalam masjid ini baik dari segi hiasan bangunan mahupun hiasan dalaman yang minimal menjadikannya semakin dekat dengan rakyat di tengah-tengah pusat kegiatan ekonomi dan pentadbiran negeri serta masyarakat tempatan yang majoriti beragama Islam.

Menara utama yang terletak di bahagian hadapan disertakan dengan jam di empat bahagian kepala menara secara simboliknya menekankan tentang pengurusan masa kepada masyarakat selari dengan peringatan Allah SWT tentang masa kepada manusia dalam Surah al-Asr ayat 1 -3 yang bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.”





2. Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan

Masjid Al-Ismaili terletak di atas Lot PT 3190, Bandar Baru Pasir Pekan, Wakaf Bharu. Pada 26 Muharram 1433H bersamaan 22 Disember 2011 telah berlangsung satu Majlis Solat Hajat dan Upacara Peletakan Batu Asas.

Masjid Al-Ismaili merupakan cetusan idea Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dan ianya merupakan hadiah abadi daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Muhammad V kepada Ayahanda baginda Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra. Masjid yang didirikan ini berteraskan Tema 5 iaitu Islam terbina di atas Rukun Islam yang lima, demi menjaga lima Maqosid As-Syariyyah, yang terdidik melalui lima hukum bagi panduan lima pancaindera manusia untuk menakhodai diri di dunia menuju akhirat. Masjid ini juga dibina dengan reka bentuk lima menara, lima anak tangga dan dipagari oleh enam kubah yang melambangkan rukun iman yang enam. Masjid Al-Ismaili ini akan dilengkapi dengan ruang solat utama seluas 20,750 kaki persegi yang dapat menampung keperluan jemaah seramai 1500 orang jemaah pada satu-satu masa.





3. Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian

Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian telah disempurnakan pembukaannya oleh Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ismail Petra Ibni Al-marhum Sultan Yahya Petra Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Kelantan Darul al-Naim pada 8 Safar 1413 hijrah bersamaan dengan 7 haribulan Ogos 1992 masihi. Masjid ini merupakan antara masjid tercantik di Malaysia dan mampu menampung jemaah sebanyak 10,000 orang pada satu-satu masa.





4. Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Masjid Beijing), Rantau Panjang

Jika melalui jalan utama menuju ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang, di sini, mata pasti tertumpu kepada sebuah bangunan merah berbumbung melengkung yang kaya dengan seni bina Cina purba.

Bangunan tersebut adalah Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau turut digelar Masjid Beijing dan keindahan seni binanya diakui berjaya menggamit ramai pengunjung serta pelancong untuk ke situ.

Selain bentuk bumbung­nya yang melengkung ke atas seakan-akan tokong, turut mencuri tumpuan ialah menara berbentuk serban disokong dengan lilitan unik di bahagian bawah.

Imam masjid itu, Mohsin Abdullah berkata, Masjid Beijing menyerupai Masjid Niujie di Beijing, China yang dipercayai ber­usia lebih daripada 1,000 tahun.

“Bangunan utama merupakan komponen terbesar dan mempunyai dua tingkat. Tingkat atas adalah ruang sembahyang utama yang dapat menempatkan 1,000 jemaah dalam satu-satu masa.


“Sementara itu, di tingkatbawah pula mempunyai ruang sokongan untuk kemudahan awam iaitu dewan serbaguna, dewan makan, klinik dan perpustakaan masjid. Terdapat empat pintu masuk ke bangunan masjid untuk mengelakkan kese­sakan,” katanya.







5. Masjid Kubang Batang, Wakaf Bharu

Masjid Mukim Kubang Batang, Tumpat yang dalam pembinaan. Dana pembinaan masjid hasil derma orang ramai.







6. Masjid Ar-Rahman, Pulau Gajah


Batu-batu yang diukir ayat-ayat suci Al-Quran.



Masjid Ar-Rahman di Pulau Gajah, dekat Sabak, di sini tersergam indah dengan keunikan dan kehalusan seni bina Melayu, sekali gus memukau setiap mata yang memandang.

Dari reka bentuk luaran hingga perincian dalaman, setiap butiran seni bina mencerminkan kedamaian dan ketenangan, malah binaan turut dikelilingi hutan dan parit mewujudkan panorama semula jadi.

Melangkah masuk Masjid Ar-Rahman cukup mengujakan apabila setiap langkah disambut pemandangan gerbang besar yang dibina tinggi menggunakan kayu cengal.

Masjid Ar-Rahman mula dibina pada awal 2016 untuk menampung keperluan jemaah yang semakin bertambah, selepas melihat keadaan masjid lama Pulau Gajah yang semakin sempit.

Pembinaan masjid di atas tapak seluas 0.8 hektar itu mengambil masa kira-kira dua tahun dan kini ia mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Uniknya, khidmat 10 pekerja dari Indonesia diguna pakai untuk menghasilkan lebih 90 peratus ukiran tangan pada masjid, separuh daripadanya ukiran ayat suci al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ar-Rahman, Hasan Mahmood, berkata pembinaan masjid dengan kos lebih RM6 juta itu hasil sumbangan penderma individu, malah pelan serta idea pembinaan juga cetusan daripada hamba Allah itu.

Seni bina empat negara

Menariknya, beliau berkata, binaan Masjid Ar-Rahman ini, ia turut mempertontonkan gabungan hiasan dari sekurang-kurangnya empat negara, selain seni bina Melayu.

“Dua pintu masuk masjid contohnya dari Yaman, tiang tempat imam solat pula dari Maghribi. Set geduk berasal dari Indonesia dan lakaran al-Quran dalam bulatan di tengah siling pula dibawa dari Turki.

“Rahsianya, individu yang membiayai pembinaan Masjid Ar-Rahman ini sering merantau ke luar negara terutama Indonesia, Maghribi, Yaman dan Turki. Dari situlah cetusan idea hiasan dimanfaatkan.

“Malah pintu kayu berusia ratusan tahun yang dipenuhi ukiran ayat suci al-Quran di hadapan tempat Imam solat diimport dari Magribi. Harganya saya tidak tahu kerana semuanya diuruskan penderma,” katanya.

Keunikan Masjid Ar-Rahman tidak terbatas pada pandangan luar dan dalam bangunan, sebaliknya sudut pandangan atas memberi gambaran lebih menarik seolah-olah masjid berada di sebuah pulau kecil.

Pemilihan lokasi masjid yang dikelilingi parit dan rimbunan pokok turut memberi kelebihan apabila menghasilkan udara nyaman dan sejuk kepada binaan itu, selain lokasi juga terletak di hujung kampung.

Aspek kemudahan diutamakan

Mengenai aspek kemudahan, Hasan yang juga Imam Tua Masjid Ar-Rahman.

berkata, tempat letak kenderaan yang luas untuk kemudahan jemaah disediakan, malah bumbung parkir juga dipasang panel solar bagi tujuan penjimatan tenaga elektrik.

“Secara peribadi, saya tidak pernah menjejak kaki ke dalam masjid seindah ini. Ia memberi gambaran seolah-olah berada di sebuah masjid yang dibina oleh Wali Songo, penyebar Islam di tanah Jawa di Indonesia pada abad ke-14.

“Seorang pengunjung wanita turut menitiskan air mata melihat keindahan dan ukiran seni halus ayat al-Quran di masjid ini kira-kira dua bulan lalu, kerana tidak menyangka masjid sebegini indah mampu dibina orang Melayu,” katanya.

Mengenai cetusan idea pembinaan, Hasan berkata, pada mulanya dia meminta pertolongan seorang hamba Allah untuk membesarkan masjid lama.

“Saya terkejut apabila individu berkenaan menawarkan untuk membina masjid baharu di atas tanah miliknya sendiri dan bagi kami, ia ibarat anugerah,” katanya.






7. Masjid Razaleigh, Gua Musang

Gua Musang Kelantan bakal mempunyai masjid paling besar dan paling unik di negeri itu dengan pembinaan masjid mirip Masjidil Haram di Mekah.

Masjid menelan belanja RM23 juta ilham Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bakal menjadi mercu tanda dan tumpuan pelancong ke Kelantan.

Dibina atas tanah seluas 1.5 hektar ia mampu menampung hampir 5,000 jemaah.

Keunikkannya tertumpu kepada warna, jubin dan hiasan luar termasuk 9 menara mirip Masjidil Haram.

Ia termasuk ruang tengah dibina batu hitam empat segi yang akan mengalirkan air dari atas umpama Kaabah bagi memudahkan jemaah haji dan umrah berkursus sebelum ke Tanah Suci.

No comments:

Post a Comment

Dari Pasir Puteh ke Kuala Besut penghujung Jun 2024

Salam 22 Muharram 1446 Hijriah. Ini ada satu lagi perkongsian yang dibuat sebulan lalu.  Pagi Sabtu 29 Jun 2024 bermulalah dengan satu perja...